Latar Belakang
Kolej MARA Kuala Nerang memulakan operasi dan misi utamanya dalam mendidik anak bangsa bermula pada 1 Disember 1994. Pembinaannya telah menelan belanja sebanyak RM16 juta di dalam kawasan seluas 36 ekar yang terdiri daripada blok pentadbiran, blok akademik dan blok asrama. Pada asal pembinaan kolej ini, ia menggunakan peruntukan MRSM walaupun nama rasminya adalah Kolej MARA. Walaupun telah beroperasi selama 14 tahun, namun sehingga kini, kolej ini tidak pernah dirasmikan pembukaannya.
En. Mat Zuber bin Ramli adalah pengetua pertama yang ditempatkan di kolej ini. Beliau berjaya mentadbir pengurusan kolej dengan baik dan diikuti oleh pengetua-pengetua lain selepasnya sehinggalah Pn. Hjh. Shaariah mengambil alih kerusi tersebut pada 11 Januari 2007. Walau bagaimanapun gelaran "Pengetua" telah diubah kepada "Pengarah" selaras dengan Surat Pekeliling Am MARA Bil.2/2008 yang dikeluarkan pada 7 April 2008. Sesuai dengan gelarannya, Pn. Hjh. Shaariah berjaya melakukan banyak perubahan pada kolej sehinggalah kolej berjaya merangkul Anugerah Kualiti MARA empat (4) tahun berturut-turut. Berikut adalah kronologi pengetua-pengetua dan pengarah yang pernah mentadbir kolej:

Kolej MARA Kuala Nerang terletak di daerah Padang Terap, Kedah Darulaman. Kolej ini dinamakan "Kuala Nerang" kerana lokasinya yang berhampiran dengan pekan Kuala Nerang iaitu pekan utama daerah Padang Terap. Pada asalnya kolej ini mempunyai sebuah blok pentadbiran yang bersambung terus dengan dua (2) blok akademik utama iaitu blok akademik Utara (kini dikenali sebagai Cemerlang) dan Selatan (kini dikenali sebagai Gemilang), Recreation Center (kini dikenali sebagai Dataran Usahawan), dewan selera, tiga (3) blok asrama iaitu blok L (kini dikenali sebagai Iman), blok P (kini dikenali sebagai Ikhlas) dan blok Q (kini dikenali sebagai Ikhsan), dua (2) unit rumah sebuah/banglow (kini salah satunya didiami oleh ketua warden), dua (2) unit kuarters guru semi-D, Dewan Badlishah, Pondok Pengawal, Perpustakaan dan surau.
Selepas beberapa tahun, kolej ini menerima beberapa penambahbaikan dari segi prasarana. Antaranya pada tahun 1998, surau kolej diperbesarkan untuk menampung kapasiti pelajar dari 600 orang kepada 1000 orang. Pada tahun 2002, kediaman pengetua/pengarah dan blok R (kini dikenali sebagai Iltizam) dibina. Empat (4) tahun berikutnya, pembinaan blok Unggul, blok F (kini dikenali sebagai Insaniah) dan kediaman timbalan pengarah siap dilaksanakan.
Program Yang Dijalankan
Pada awalnya Kolej MARA Kuala Nerang menjalankan Program Matrikulasi Universiti Utara Malaysia bermula dari tahun 1995 sehingga April 2000. Kumpulan pertama pelajar sesi 1995/1996 adalah pecahan kecil yang dipindahkan dari Kolej MARA Kulim untuk ditempatkan di kolej ini. Sepanjang tempoh usia Matrikulasi UUM ini, kolej telah menghasilkan 1,864 orang pelajar yang kemudiannya berhijrah ke Universiti Utara Malaysia. Berikut adalah statistik bilangan pelajar mengikut sesi:
| Sesi |
95/96 |
96/97 |
97/98 |
98/99 |
99/00 |
| Bil. Pelajar |
213 |
243 |
433 |
485 |
490 |
Program Matrikulasi UUM ini tamat pada tahun 2000 setelah Kementerian Pendidikan (kini dikenali sebagai Kementerian Pelajaran) mengambil alih bahagian matrikulasi pada tahun tersebut. Sejak itu bermula satu lembaran baru buat kolej ini apabila diberi mandat untuk melaksanakan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia dan berdiri megah bersaing bersama-sama kolej matrikulasi yang lain. Kolej MARA Kuala Nerang dan Kolej MARA Kulim dimiliki sepenuhnya oleh MARA manakala 9 buah kolej matrikulasi lain dimiliki oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia. Berikut adalah kolej-kolej Matrikulasi yang ada di Malaysia:
- Kolej MARA Kuala Nerang
- Kolej MARA Kulim
- Kolej Matrikulasi Perlis
- Kolej Matrikulasi Kedah
- Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
- Kolej Matrikulasi Perak
- Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
- Kolej Matrikulasi Melaka
- Kolej Matrikulasi Johor
- Kolej Matrikulasi Pahang
- Kolej Matrikulasi Labuan
Di Kolej MARA Kuala Nerang, Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula dari Jun 2000 sehinggalah ke hari ini. Bermula Sesi 2000 hingga Sesi 2007, pihak kolej hanya menempatkan pelajar Jurusan Akaun sahaja. Buat julung kalinya pada sesi 2007/2008, kolej dibenarkan untuk mengambil pelajar dalam dua aliran iaitu Jurusan Akaun dan Jurusan Sains. Walaupun tempoh Jurusan Sains diperkenalkan agak singkat tetapi pencapaian pelajar jurusan ini amat memberangsangkan. Berikut adalah statistik bilangan pelajar mengikut sesi:
| Sesi |
00/02 |
02/03 |
03/04 |
04/05 |
05/06 |
| Jurusan |
Akaun |
Akaun |
Akaun |
Akaun |
Akaun |
| Bil. Pelajar |
226 |
479 |
487 |
491 |
483 |
| Sesi |
06/07 |
07/08 |
| Jurusan |
Akaun |
Akaun |
Sains |
| Bil. Pelajar |
544 |
391 |
333 |
Selain daripada program matrikulasi, kolej juga menjalankan Program-Program UniKL iaitu Program Foundation in Engineering (FET) dan Program Foundation in Biological Science (FIBS).
Program FET dan FIBS masing-masing bermula pada 17 Februari 2008 dan 27 Julai 2008. Kedua-dua program masih berjalan sehinggalah ke hari ini. Tempoh kedua-dua program ini hanyalah setahun kerana ia adalah program persediaan untuk pelajar cemerlang.
Program FET dan FIBS masing-masing bakal berakhir pada 18 Disember 2008 dan 28 Mei 2009. Seterusnya bagi pelajar FET, mereka akan menjalani latihan industri (dalam bidang "electrical","mechanical" dan "chemical") yang akan diatur oleh pihak UniKL selama 1 semester sebelum memasuki tahun pertama pengajian dalam bidang masing-masing di UniKL. Selepas tamat tahun pertama, pelajar-pelajar ini akan menyambung pengajian mereka di University of Sheffield, U.K untuk tahun kedua dan berikutnya. Bagi pelajar FIBS, mereka akan terus ditempatkan di Royal College of Medicine Perak (RCMP) untuk tahun pertama pengajian dan berikutnya. Golongan ini adalah perintis kepada bidang perubatan hasil keluaran MARA sendiri. |